KOSMO: Ketam risa permata baharu Taman Laut Tun Mustapha


MENYELAMI dasar laut di Taman Laut Tun Mustapha, sekitar kawasan kepulauan utara Sabah menyajikan keindahan terumbu karang yang dihuni oleh pelbagai spesies hidupan laut sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Selain menjadi tarikan pelancong, kawasan tersebut turut dikunjungi oleh pelbagai kumpulan penyelidik yang ingin membongkar rahsia hidupan di sebalik terumbu karang, sekali gus merencanakan usaha untuk melindungi khazanah negara yang tidak ternilai harganya itu.
Dalam prakarsa yang dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Sabah, Pusat Biodiversiti Nutralis, Taman Sabah dan Pertubuhan Dana Sedunia (WWF) telah membawa kepada penemuan spesies baharu ketam risa.
Ketam risa atau nama saintifiknya, Lithoscaptus semperi ditemui hidup dan membiak secara bebas di sekitar perairan Sabah merupakan daripada spesies Trachyphyllia geoffroyi.
Hidupan tersebut dipercayai tinggal di dasar laut berpasir di sekitar kawasan terumbu karang dan merupakan antara hidupan yang cuba dirungkai oleh kumpulan penyelidik.
Spesimen yang ditemui pada tahun 2012 telah merungkai data hidupan tersebut.
Saiz
Menurut seorang saintis dari Pusat Biodiversiti Nutralis, Sancia Van der Meij, usaha untuk menemui hidupan berkenaan menempuh jalan sukar berikutan saiznya yang berbeza berbanding ketam biasa.
“Saya berhadapan tugas sukar dalam usaha untuk menyelidik ketam risa tersebut berikutan saiznya yang kecil dan sukar dikesan semasa di dasar laut.
“Namun, setelah saya merungkai cara untuk mengenal pasti hidupan tersebut, saya mendapati bahawa Lithoscaptus semperi merupakan penghuni yang biasa di kawasan terumbu karang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketam tersebut mempunyai saiz yang kurang daripada satu sentimeter (sm) dan hidup menyelinap di celah-celah terumbu karang berbatu.
Kawasan tempat tinggalnya terbentuk dalam terumbu karang dikenali sebagai risa atau benjolan yang turut menjadi sebahagian daripada namanya.
Perbezaan saiz antara ketam tersebut menjadi penentuan kepada jantinanya. Ketam betina selalunya bersaiz lebih besar daripada ketam jantan.
Ketam betina mempunyai saiz dua kali lebih besar kerana abdomennya berfungsi untuk membawa telur dengan kuantiti yang banyak. Semasa bertelur, ibu ketam akan tinggal di dalam risanya manakala ketam jantan tidak terikat untuk bersama-sama pasangan dan bebas bergerak ke mana-mana sahaja.

Para penyelidik masih berusaha mencari spesies hidupan baharu di Taman Laut Tun Mustapha. – Gambar hiasan


Ketua Unit Marin WWF, Robecca Jumin memberitahu, pihaknya bersama kumpulan penyelidik masih berusaha untuk mencari spesies hidupan baharu khususnya sekitar Taman Laut Tun Mustapha.
“Penemuan dan penyelidikan yang dilakukan oleh Sancia Van der Meij tersebut secara tidak langsung telah mendukung saranan dan keperluan untuk melindungi kawasan terumbu karang itu.
Biodiversiti
“Kami masih berusaha untuk mencari spesies baharu di sekitar kawasan taman laut berkenaan khususnya di kawasan yang masih belum diterokai. Kawasan ini perlu diambil perhatian bukan sahaja untuk melindungi sumber makanan atau lubuk nelayan tetapi lebih kepada mengekalkan biodiversiti yang seimbang,” ujarnya.
Tambahnya, kemungkinan lebih banyak spesies baharu ditemui namun, aktiviti penyelidikan dan kajian perlu lebih dititikberatkan. Malah, ia perlu dipertimbangkan dengan sebuah unit pengurusan yang penting sekiranya kawasan itu telah diwartakan.
Tahun lalu, kerajaan negeri Sabah telah mengumumkan perancangan untuk mewartakan Taman Laut Tun Mustapha menjelang tahun 2015. Tindakan tersebut secara tidak langsung akan menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai kawasan marin terpelihara terbesar.
Usaha tersebut juga akan membantu pengurusan mapan untuk kawasan terumbu karang yang bakal memberi faedah kepada 80,000 penduduk sekitar perairan dan kepulauan berhampiran taman laut berkenaan.
Taman Laut Tun Mustapha turut dikenali sebagai kawasan perlindungan signifikan global utama di sekitar segi tiga terumbu karang utara Sabah yang diancam dengan aktiviti tangkapan ikan berlebihan dan kemusnahan serta pencemaran.



Hakcipta terpelihara 

Comments

Popular posts from this blog

A Trip to Pulau Tigabu on the Eastern Edge of Tun Mustapha Park

CROC INCIDENT OFF BALAMBANGAN ISLAND

Have you thought of what these two big brands can do together?