KOSMO: TMP taman marin terbesar di Malaysia

“DAHULU kawasan terumbu karang di kawasan ini banyak dan cantik, kini ia semakin berkurangan dan banyak yang telah musnah,” ujar Mohd. Omar Bural, 31, yang merupakan salah seorang penduduk di Pulau Banggi, Sabah.
Menurutnya, sikap sesetengah nelayan yang menangkap ikan dengan mengebom ikan menjadi punca kemusnahan terumbu karang di kawasan perairan di sekitar Pulau Banggi.
“Bom-bom ini dilemparkan di kawasan terumbu karang yang menjadi kawasan tumpuan ikan.
“Selain itu, sauh yang dilemparkan dari bot-bot besar juga menjadi punca berlakunya kemusnahan terumbu karang di kawasan ini,” jelasnya.
Bagi terus melindungi kawasan terumbu karang agar terus terpelihara Omar dan beberapa rakan lain daripada Kelab Belia Banggi (BYC) telah menanam semula terumbu karang di kawasan yang telah musnah.
“Kami menanam semula terumbu karang yang musnah, manakala kawasan yang masih terpelihara kami mewartakannya sebagai kawasan larangan untuk sebarang aktiviti menangkap ikan,” katanya.
Selain itu BYC dengan kerjasama Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF Malaysia) sejak beberapa tahun lalu telah menjalankan beberapa kempen dan aktiviti bagi memberi kesedaran kepada komuniti setempat untuk menjaga dan memelihara biodiversiti marin.
Kini Omar dan rakan-rakannya boleh berbangga kerana Pulau Banggi yang merupakan sebahagian daripada kawasan yang terletak di bawah kawasan Taman Tun Mustapha (TMP) telah diwartakan sebagai taman marin di bawah Enakmen Taman-Taman Sabah 1984 (pindaan 2007).
Pewartaan Taman Tun Mustapha sebagai kawasan perlindungan marin terbesar di rantau ini adalah kerjasama pelbagai agensi seperti WWF Malaysia, Jabatan Perikanan Sabah, Persatuan Nelayan dan komuniti setempat, dilihat berupaya memberi impak besar kepada Sabah daripada aspek industri pelancongan dan akuakultur.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma berkata, pihaknya memuji usaha yang dilakukan kerajaan negeri Sabah menubuhkan TMP di kawasan luar pantai Kudat yang terletak di utara Borneo.
Menurutnya, pewartaan TMP dapat memastikan biodiversiti marin di kawasan itu terus terpelihara.
“TMP terletak di kawasan Segitiga Terumbu Karang yang meliputi keluasan kawasan perairan seluas 898,762.76 hektar melibatkan tiga daerah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas yang terletak di bahagian utara Sabah dan mempunyai lebih daripada 50 pulau di sekitar perairan itu.
Biodiversiti marin
“Memiliki nilai biodiversiti marin yang merangkumi lebih 250 spesies batu karang, 360 spesies ikan, dugong, penyu hijau dan kawasan rumpai laut serta hutan hujan primer yang penting menjadikan TMP sebagai kawasan perlindungan marin terbesar di Malaysia,” jelasnya.
Sejak tahun 2003 WWF Malaysia telah bekerjasama rapat bersama Taman-Taman Sabah dan agensi kerajaan serta komuniti dalam usaha pewartaan taman ini sehingga diisytihar secara rasmi pada 19 Mei lalu.
“Pewartaan ini sedikit sebanyak dapat menghalang aktiviti penangkapan ikan secara berlebihan, kaedah memancing yang tidak dibenarkan serta sebarang kegiatan penangkapan yang boleh merosakkan biodiversiti marin.
“Langkah itu juga membolehkan usaha bersepadu dijalankan bagi menangani sebarang ancaman yang akan memberi tekanan terhadap ekosistem marin,” jelas Dionysius Sharma.
Tambahnya, WWF-Malaysia bersedia menawarkan sokongan teknikal berterusan kepada Taman-Taman Sabah dan bekerja dengan pelbagai agensi, sektor swasta, masyarakat setempat serta badan bukan kerajaan yang lain untuk melaksanakan pelan pengurusan yang kukuh bagi memastikan penggunaan sumber yang mapan di TMP.
Dalam pada itu, Ketua Program Marin WWF-Malaysia, Robecca Jumin memberitahu, pewartaan TMP dapat mengurangkan ancaman pengambilan hasil laut secara berlebihan dengan kaedah penangkapan yang boleh merosakkan terumbu karang dan habitat marin lain.
“TMP menjadi kawasan perlindungan marin terbesar di Malaysia. Ia merupakan salah satu taman laut yang menggunakan sistem pelan zon.
Zon pemeliharaan
Komuniti penduduk di Pulau Banggi menanam semula terumbu karang yang musnah.


“Memandangkan kawasan di pesisiran perairan yang mempunyai lebih kurang 80,000 penduduk, sistem pelan zon ini dilaksanakan bagi memastikan sumber pendapatan mereka yang kebanyakan bekerja sebagai nelayan tidak terjejas, namun dalam masa yang sama memulihara habitat marin yang lain,” jelasnya.
Melalui pelan zon itu ada kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan untuk menangkap ikan atau Zon Pemeliharaan.
Disebabkan sumber perikanan yang semakin berkurang, zon pemeliharaan ini akan membantu menambah jumlah ikan di kawasan yang dibenarkan. Kawasan zon pemeliharaan yang dijaga dan ditutup sepenuhnya akan membolehkan populasi ikan di kawasan itu pulih sekali gus meningkatkan jumlah ikan.
Jumlah yang banyak ini menyebabkan sebahagian ikan akan keluar dari kawasan zon pemeliharaan ke kawasan ikan ditangkap secara tradisi.
“Melalui kaedah ini, ikan mudah bertelur dan membesar di kawasan larangan sebelum ia melimpah keluar ke kawasan yang dibenarkan untuk menangkap ikan,” jelas Robecca.
Tambah Robecca, pewartaan TMP melalui proses yang panjang kerana ia melibatkan banyak pihak terutamanya untuk meyakinkan komuniti setempat yang kebanyakan mereka adalah nelayan.
Ini termasuklah nelayan komersial yang turut menggunakan TMP sebagai kawasan perikanan mereka.
“Nelayan-nelayan ini juga terlibat dalam proses pengezonan kawasan untuk tujuan menambah bilangan hasil sumber perikanan di perairan ini,” jelasnya.
WWF-Malaysia dan Taman Taman Sabah bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memulihara biodiversiti marin terutamanya kepada penduduk tempatan.
Sementara itu, Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr. Jamili Nais berkata, pewartaan TMP menandakan bahawa tugas dan tanggungjawab yang lebih berat digalas oleh Taman-Taman Sabah bagi memastikan penjagaan dan pemuliharaan kawasan yang diwartakan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Menurutnya, untuk memulihara biodiversiti marin di TMP pihaknya telah menyediakan beberapa pelan dan membahagikannya kepada beberapa zon.
“Kami melaksanakan sistem pelan zon yang dibahagikan kepada empat zon utama.
“Zon pertama adalah zon larangan tangkapan yang meliputi keluasan hampir 25 peratus daripada jumlah keseluruhan keluasan TMP. Zon larangan tangkapan ini ialah kawasan yang mempunyai biodiversiti tinggi seperti terumbu karang dan kawasan pembiakan ikan.
“Zon kedua adalah zon komuniti yang meliputi jarak sejauh satu kilometer (km) dari pesisiran pantai. Untuk zon komuniti ini hanya dibenarkan untuk tujuan aktiviti-aktiviti berasaskan pelancongan,” katanya.
Zon ketiga adalah zon penggunaan pelbagai. Di kawasan itu aktiviti penangkapan yang melibatkan nelayan kecil dibenarkan.
“Zon keempat pula zon komersial. Di kawasan ini nelayan komersial dibenarkan menggunakan pukat tunda untuk menangkap ikan,” katanya.
Pihaknya juga akan sentiasa melakukan pemantauan terutamanya di zon larangan tangkapan bagi memastikan tidak ada aktiviti yang boleh memusnahkan biodiversiti di situ.
“Selain stesen terapung, teknologi dron juga akan digunakan untuk memantau keseluruhan TMP ini bagi mengelakkan sebarang aktiviti mencurigakan yang boleh memusnahkan biodiversiti marin di kawasan ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Jamili berkata, pihaknya juga telah melantik 20 renjer kehormat dalam kalangan komuniti penduduk di sekitar TMP.
“Mereka akan menjadi mata dan telinga kepada Taman-Taman Sabah untuk melaporkan sebarang aktiviti yang tidak sepatutnya dilakukan di setiap zon yang telah dibahagikan,” ujarnya.



Hakcipta terpelihara 



Comments

Popular posts from this blog

A Trip to Pulau Tigabu on the Eastern Edge of Tun Mustapha Park

CROC INCIDENT OFF BALAMBANGAN ISLAND

Have you thought of what these two big brands can do together?