365 NEWS: BOIKOT SAJIAN ISTIMEWA SUP SIRIP IKAN YU


Boikot sajian istimewa sup sirip ikan yu
WALAUPUN jam sudah menunjukkan pukul 7 pagi, para pengunjung masih berpusu-pusu memasuki Pasar Borong Selayang, Selangor untuk mendapatkan barangan keperluan harian.
Ketika menjengah ke bahagian basah pasar itu, mata penulis tertancap pada sebuah gerai yang melonggokkan beberapa ekor ikan yu atau jerung bersaiz kecil di atas meja untuk dijual.
Menurut penjual ikan berusia dalam lingkungan 40-an yang hanya mahu dikenali sebagai Keng itu, ikan yu yang dijual pada harga RM10 sekilogram tersebut dikatakan mempunyai rasa yang enak selain memberi khasiat kepada tubuh manusia.
“Ikan yu ini sedap. Semua jenis masakan sesuai seperti masak kari, asam pedas, kicap dan gulai. Malah, goreng begitu sahaja pun sudah memadai.
“Ia mempunyai khasiat yang bertindak sebagai agen untuk membantu mempercepat proses penyembuhan,” dakwanya tanpa mengemukakan sebarang bukti saintifik.
Lantaran itu, tidak hairanlah apabila Malaysia kini berada di kedudukan ke sembilan sebagai pengeksport ikan yu terbesar di dunia dan pengimport ketiga terbesar bagi produk ikan yu berdasarkan laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FOA), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pulangan lumayan
Menurut laporan itu, dianggarkan sekurang-kurangnya 1.4 juta tan metrik atau 100 juta ekor ikan yu dibunuh pada setiap tahun di Malaysia.
Ironinya, bukan daging ikan itu yang diburu tetapi pembunuhan tersebut adalah disebabkan oleh permintaan siripnya.
Malah, status jualan sirip ikan yu di Sabah dianggarkan sekurang-kurangnya mencapai RM400 juta setahun.
Ketua Unit Kajian Spesies Marin Terancam, Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah, Dr. B. Mabel Manjaji Matsumoto berkata, pendapatan lumayan hasil jualan sirip ikan yu antara faktor utama yang mendorong nelayan memburu spesies tersebut.
“Di pasar-pasar ikan di Sandakan, Sabah contohnya, satu kilogram sirip ikan yu kering dijual antara RM40 hingga RM50 secara terbuka.
“Sirip ikan yu biasanya dijual kering, hanya perlu potong dan jemur. Ia berbeza daripada membuat ikan masin yang perlu melalui banyak proses tetapi harga jualan tidak semahal sirip yu.
“Disebabkan itu, ia mudah untuk diproses dan boleh meraih pulangan lumayan. Penjualan sirip ikan yu semakin meningkat dan selagi ada permintaan, selagi itu akan wujudnya pembekal,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Sekiranya pemburuan itu dilakukan secara berterusan, spesies ikan yu akan pupus selain memberi kesan terhadap rantaian makanan laut serta survival manusia.
Menurut Manjaji Matsumoto, ikan yu? menduduki aras trofik tertinggi dalam rantaian makanan laut.
“Secara semula jadinya, hanya dua faktor yang menyebabkan kematian kumpulan ikan ini iaitu dimakan pemangsa lain seperti paus dan mati akibat bencana alam.
“Pemburuan ikan yu akan menjejaskan kitaran rantaian semula jadi alam,” katanya.
Manjaji Matsumoto berkata, ikan yu berfungsi untuk memastikan keseimbangan hidupan laut dengan mengeluarkan (memakan) ikan yang sakit dan lemah daripada laut.
Kenyataan itu disokong oleh kajian Predators as Prey: Why Healthy Oceans Need Sharks (2008) dan Predators help protect carbon stocks in blue carbon ecosystems (2015).
Menurut kajian itu, ikan yu membantu mengekalkan kesihatan terumbu karang, melindungi habitat penting laut dan menghalang perubahan iklim.
Dari segi jangka hayat pula, ikan yu mempunyai kadar tumbesaran yang perlahan, pembiakan rendah, tempoh kematangan dan jangka hayat yang panjang.
Sebagai ikan jenis bertulang rawan (cartiliginous), ikan yu dikategorikan mempunyai strategi pembiakan k-selected iaitu strategi pembiakan yang menyerupai mamalia dan berbeza daripada ikan bertulang rawan.
“Bagi ikan yu, persenyawaan adalah secara dalaman iaitu kedua-dua induk jantan dan betina menghabiskan banyak tenaga untuk menghasilkan kira-kira 100 ekor anak.
“Dalam tempoh setahun, seekor ikan yu hanya boleh mengeram sebanyak satu atau dua kali, bergantung kepada spesies itu.
“Bukan itu sahaja, ikan yu mengambil masa yang lama untuk menjadi matang. Kebanyakan spesies bersaiz kecil seperti yu tukul mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun manakala melebihi lima tahun bagi spesies bersaiz sederhana.
“Bagi spesies besar seperti paus, tempoh untuk menjadi matang mengambil masa sekurang-kurangnya 30 tahun,” ujarnya.
Produktiviti
Ikan yu mempunyai produktiviti yang rendah dan ia berpunca daripada penangkapan secara berleluasa.
Pengurus Hidupan Laut Lestari Tabung Hidupan Liar Sedunia-Malaysia (WWF-Malaysia), Chitra Devi G. berkata, antara langkah pengurusan sumber perikanan yang disyorkan adalah dengan memperbanyakkan program kesedaran pemuliharaan ikan yu yang menyasarkan kepada golongan utama masyarakat yang memakan sirip ikan yu.
Berdasarkan kepercayaan masyarakat Cina, sirip ikan yu biasanya dikaitkan dengan simbol kemakmuran dan dihidangkan sebagai lambang kemegahan atau menghormati tetamu.
“Sajian sup sirip ikan yu dikatakan sebagai makanan berkhasiat tetapi setakat ini tiada kajian saintifik yang mengesahkan bahawa hidangan itu memberikan manfaat perubatan atau kesihatan.
“Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) membidas mitos itu apabila turut mengeluarkan kenyataan bahawa sirip ikan yu tidak mempunyai sebarang khasiat. Malah, mempunyai tahap kandungan merkuri yang tinggi dan toksin berbahaya,” jelasnya.
Oleh itu, WWF-Malaysia menyeru rakyat Malaysia untuk membantah pengambilan sup sirip ikan yu dengan menyertai kempen My Fin My Life bermula Januari hingga Julai lalu.
Kempen itu turut disertai Persatuan Pelindung Ikan Yu Sabah, Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Sekolah Skuba Antarabangsa, Reef Check dan Persatuan Pelindung Yu Malaysia.
Warta
Matlamat kempen itu adalah untuk memberi kesedaran kepada kira-kira 20,000 restoran dan 500 peniaga bagi tujuan mengeluarkan menu sup sirip ikan yu daripada senarai hidangan serta menggalakkan orang ramai menyahut seruan Katakan tidak kepada sup sirip ikan yu.
Sehingga kini, antara restoran yang telah menggugurkan menu sup sirip ikan yu daripada hidangan mereka ialah rangkaian Hotel Shangri-La, Hotel The Hyatt dan Hotel Hilton.
Sementara itu, menurut Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, negeri itu akan mewartakan tiga taman marin sebagai pusat santuari ikan yu pada pertengahan tahun ini dalam usaha untuk melindungi hidupan marin terancam.
Tiga taman marin yang akan dijadikan pusat santuari ikan yu adalah Taman Marin Tun Sakaran di Semporna, Taman Marin Tunku Abdul Rahman (Kota Kinabalu) dan Taman Marin Tun Mustapha (Kudat).
“Ketiga-tiga taman marin ini meliputi jumlah keseluruhan keluasan dua juta hektar dan merupakan habitat bagi 80 peratus populasi ikan yu di sini.
“Langkah itu merupakan inisiatif kerajaan negeri Sabah dalam usaha mengharamkan kegiatan memancing ikan yu di taman marin, sekali gus dapat memberi ruang kepada populasi ikan yu untuk membiak,” ujarnya.
Menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Jabatan Perikanan, Tan Geik Hong, tindakan memotong sirip dan membuang badan ikan yu ke dalam laut adalah aktiviti yang dilarang sama sekali.
Jelasnya lagi, nelayan yang membuat aktiviti itu boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
“Nelayan perlu mendapatkan Lesen Pukat Tunda daripada Jabatan Perikanan bagi memperoleh kebenaran menangkap ikan yu.
“Bagaimanapun, ikan yu yang ditangkap bagi tujuan perikanan perlu dibawa ke pangkalan secara sempurna dan bukan hanya sirip.
“Kegagalan membuat sedemikian boleh dikenakan denda sebanyak RM20,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sebagai mempromosi kesedaran masyarakat mengenai ikan yu, Jabatan Perikanan akan turut serta pada jelajah MAHA di MAEPS Serdang, Selangor bermula dari 1 hingga 12 Disember ini.
Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan khususnya melibatkan kanak-kanak sebagai satu usaha untuk menyuntik kesedaran dalam kalangan belia.
sekurang-kurangnya 1.4 juta tan metrik atau 100 juta ekor ikan yu dilaporkan dibunuh untuk mendapatkan siripnya pada setiap tahun di Malaysia. – Gambar hiasan
Penerangan pengendalian kayak dibuat di beting pasir di tengah Sungai Pengkalan Datu.
Mahasiswa tidak seharusnya terlibat dengan demonstrasi jalanan dan membiarkan diri dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab. – 
Sumber: http://wp.news365.my/?p=1986269

Comments

Popular posts from this blog

A Trip to Pulau Tigabu on the Eastern Edge of Tun Mustapha Park

Winning photo from the proposed TMP!