BORNEO TODAY: Banggi: Pulau Terbesar di Malaysia Menghadapi Kemelut Air, Kemiskinan Tiada Kesudahan



KUALA LUMPUR – Mungkin ramai yang tidak menyedari tentang Pulau Banggi yang merupakan pulau yang terbesar di Malaysia selepas Pulau Langkawi dan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, pulau berkeluasan 447 kilometer persegi yang terletak di daerah timur laut Kudat, Sabah itu tidak senasib dengan Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.
Pulau tersebut jauh ketinggalan dari segi infrastruktur dan kemudahan bekalan air akibat pengabaian kerajaan Barisan Nasional selama ini memajukan ekonomi masyarakat setempat.


Jimmy Wong

Isu bekalan air dan infrastruktur Pulau Banggi ini telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong Sze Phin dalam ucapan Kamar Khas di Parlimen semalam (Rabu).
Menurutnya, masalah bekalan air yang melanda semakin kritikal sejak mengalami keadaan cuaca yang kering kebelakangan ini sehingga menjejaskan kehidupan 75 peratus penduduk pulau tersebut.
“Apakah bantuan yang diberi oleh Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah kekurangan air dan infrastruktur di Pulau Banggi, Sabah ini?” soalnya.
Pulau yang bersaiz hampir sama dengan Singapura itu jelasnya mempunyai seramai sekitar 20,000 penduduk yang menetap di 18 kampung di seluruh bahagian pulau tersebut.
“Kebanyakan kampung di Pulau Banggi tidak mempunyai paip air. Penduduk di Kampung Palak dan Kampung Tambising terpaksa menggunakan air yang tidak dirawat daripada sungai, perigi dan kolam yang dikorek oleh penduduk sendiri.
“Penduduk di Kampung Limbuak dan Kampung Batu Layar pula biasanya mendapat air yang dirawat daripada loji rawatan air, tetapi mereka terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk mengangkut air dari loji rawatan ke rumah mereka kerana ketiadaan sistem perpaipan,” ujar beliau.
PENDUDUK MISKING TERPAKSA BELI AIR MAHAL DARI PIHAK KETIGA
Apa yang menyedihkan kata Jimmy, terdapat pihak yang mengaut keuntungan mudah apabila bertindak menjual air kepada penduduk yang tidak mempunyai kenderaan untuk mengangkut air.
“Sesetengah penduduk kampung yang tidak mempunyai kenderaan terpaksa beli air daripada penjual air swasta dengan harga yang tinggi ataupun mendapatkan air daripada sungai dan perigi.
Satu-satunya sumber air di Pulau Banggi.

“Air kotor yang tidak dirawat di sungai dan kolam yang juga digunakan oleh haiwan-haiwan. Ini menyebabkan ramai penduduk cenderung jatuh sakit,” kata beliau.
Persoalan lain turut timbul memandangkan pulau tersebut terletak di dalam kawasan Esszone.
“Memandangkan Pulau Banggi terletak di Esszone, apakah krisis air ini akan menjejaskan operasi kawalan keselamatan Esscom?” soalnya.
Selain krisis bekalan air dan infrastruktur, beliau turut membangkitkan isu kemiskinan yang melanda penduduk Pulau Banggi.
“Walaupun Kampung Limbuak dan Kampung Batu Layar mempunyai hubungan jalan dan bekalan elektrik, tetapi kebanyakan penduduk tidak mempunyai bekalan elektrik di rumah kerana tidak mampu untuk membayar bil elektrik,” ujar Jimmy.
Beliau justeru menggesa Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Jabatan Perdana Menteri untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk miskin di Pulau Banggi yang telah lama terpinggir. – Roketkini.com

Sumber: http://www.borneotoday.net/banggi-pulau-terbesar-di-malaysia-hadapi-kemelut-air-kemiskinan-tiada-kesudahan/

Comments

Popular posts from this blog

A Trip to Pulau Tigabu on the Eastern Edge of Tun Mustapha Park

CROC INCIDENT OFF BALAMBANGAN ISLAND

Have you thought of what these two big brands can do together?